BAHAGIAN 1: Darah Pedagang

Jika dilihat dalam dunia hiburan, kalau ayahnya seorang pelakon, pasti ada anaknya yang turut terlibat dalam dunia lakonan. Sebagai contoh, penerbit filem terkenal, iaitu Datuk Yusof Haslam. Beliau bermula sebagai konduktor bas, namun diam-diam menghadiri uji bakat lakonan. Kemudian, beliau menjadi pelakon tambahan sebagai penonton perlawanan dalam filem Laksamana Do Re Mi. Dari situ kerjaya dalam bidang hiburan terus berkembang. Beliau terus menjadi pelakon, pengarah dan penerbit filem yang terkenal di Malaysia. Malah, syarikat penerbitan rancangan televisyen dan filem miliknya, iaitu Skop Productions adalah salah satu syarikat yang disegani dalam industri hiburan. Kini, legasi Yusof Haslam diteruskan oleh anak-anaknya, iaitu Syamsul Yusof dan Syafiq Yusof. Kedua-dua anaknya mencipta nama yang besar dalam industri hiburan sebagai pelakon dan pengarah filem. Filem-filem arahan Syamsul dan Syafiq berjaya mendapat kutipan tayangan yang tinggi di pawagam.
Inilah yang ingin saya sampaikan kepada para pembaca. Saya turut bergiat dalam dunia perniagaan kerana ada darah pedagang dalam diri. Dahulu, tok nenek saya ialah golongan pedagang. Mereka mempunyai kapal sendiri untuk berdagang. Mereka berlayar ke Narathiwat di Thailand untuk mengambil garam dan mendagangkan garam tersebut di tanah air kita. Saya sendiri, sejak kecil dibesarkan oleh nenek sebelah emak saya. Dahulu, kehidupan keluarga saya boleh dikatakan susah. Jadi saya telah diserahkan kepada nenek untuk dijaga dan dibesarkan.
Saya ada satu kisah mengenai nenek saya, Hajah Wan Chik namanya. Nenek saya seorang pengusaha kuih-muih tradisional orang Terengganu. Nenek membuat kuih tepung pelita, asam gumpal dan gula tarik. Ketika saya tinggal dengan nenek, ada juga cucu lain yang tinggal bersama nenek. Namun, mereka ini anak orang senang. Saya pula cucu daripada anak orang susah. Hendak dijadikan cerita, saya pernah terasa hati dengan nenek. Hal ini kerana, saya merupakan satu-satunya cucu yang dipaksa untuk hantar kuih yang dibuat oleh nenek di pasar, kedai makan dan kantin sekolah pada setiap pagi. Kemudian, pada setiap petang, saya perlu mengambil wang hasil jualan bersama baki kuih yang tidak terjual. Nenek tidak pernah menyuruh cucu yang lain untuk menghantar kuih, mengambil wang jualan dan baki kuih yang tidak terjual sebagaimana yang perlu saya lakukan pada setiap hari. Saya terasa hati.
“Mentang-mentang mak ayah aku miskin, asyik aku saja yang disuruh. Cucu lain tak pernah disuruh pun. Apa istimewanya mereka? Apa kurangnya aku?” kata saya dalam hati.
Sepanjang membantu menjual kuih yang dibuat oleh nenek, ada bermacam-macam pengalaman yang saya tempuhi. Antaranya, saya pernah dikejar anjing lantas kuih yang saya bawa habis bertaburan di jalanan. Bayangkanlah, dengan bakul berisi kuih-muih yang nenek masak, saya terpaksa berlari ketakutan apabila dikejar anjing. Akibatnya, kuih-muih bertaburan dan hal ini membawa kerugian kepada nenek saya.
Namun, akhirnya saya sedar. Pengalaman membantu nenek menjual kuih-muih ketika saya masih kanak-kanak menjadikan saya faham sedikit sebanyak tentang perniagaan. Dalam perniagaan bukan sahaja boleh membawa keuntungan, namun boleh mendedahkan kita kepada risiko kerugian. Hal yang membawa kepada keuntungan adalah jualan. Namun hal yang membawa kepada kerugian juga banyak, misalnya terlewat untuk menghantar kuih-muih ke kedai, dikejar anjing dan kuih-muih jatuh lalu tidak dapat dijual lagi.
Saya juga turut menjadikan datuk sebelah ayah saya sebagai idola. Datuk saya ialah seorang pedagang kain batik sarung pada tahun 1940-an. Ayah selalu cerita, dahulu datuk saya pergi berdagang kain batik sarung dengan mengayuh basikal. Jarak dari Kuala Terengganu hingga ke Pahang sangat jauh. Saya membayangkan keringat datuk saya mengayuh basikal sejauh itu dan bersusah payah untuk berdagang mencari rezeki. Saya mendapat satu pengajaran melalui kisah ini, iaitu jika ada kemahuan, semuanya boleh dilakukan tanpa alasan.
Semua kisah ini menjadikan saya bersemangat. Susur galur kekeluargaan saya sebagai pedagang memberikan saya semangat bahawa memang ada darah seorang pedagang dalam diri saya. Kisah menjual garam dari Thailand, kisah menjual kuih-muih di pelbagai tempat dan kisah menjual kain batik sarung dengan mengayuh basikal telah memberikan saya inspirasi. Selepas 44 tahun bergelumang dalam suka duka perniagaan, saya telah bersedia untuk melepaskan tanggungjawab ‘menjaga’ Noor Arfa kepada anak-anak saya. Mereka ialah Wan Mohd Azwan, Wan Mohd Hafiz dan Wan Mohd Affendi.