BAHAGIAN 1: Empat Dasawarsa

Saya masih ingat ketika tahun 1980, ketika awal penubuhan Noor Arfa Batik. Ketika itu, saya telah mula bercerita kepada isteri saya, Noor Hijerah Hanafiah atau lebih mesra dipanggil Kak Noor, mengenai visi saya terhadap perniagaan batik. Saya telah membayangkan wujudnya sebuah kilang memproses batik dan sebuah bilik pameran menjual batik. Ketika itu, ruang kerja Noor Arfa hanyalah di belakang rumah yang terletak di Jalan Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu. Walaupun ketika itu saya cuma memiliki sebuah ruang kecil untuk membuat batik, namun saya telah membayangkan apa yang ingin saya capai pada suatu hari nanti. Saya mempunyai visi dan misi yang jelas dalam perniagaan dalam bidang industri batik.
Orang kata berimpian itu percuma sahaja. Justeru, saya selalu memasang impian jauh di sudut hati. Dalam benak fikiran, saya selalu memikirkan bagaimana cara untuk merealisasikan impian saya itu. Pada awalnya, saya bukanlah peminat batik tegar. Saya lebih suka mengkomersialkan sesuatu benda supaya benda itu menjadi lebih bernilai. Misalnya, lukisan-lukisan batik yang dilukis oleh Kak Noor. Saya merasakan lukisan itu boleh dikomersialkan sehingga ke peringkat tertinggi yang boleh dicapai.
Pahit getir yang dilalui sejak 44 tahun yang lalu, bagi saya amat berbaloi dengan apa yang telah Noor Arfa capai pada hari ini. Tidak malu untuk saya katakan bahawa Noor Arfa telah menempuh satu perjalanan yang jauh. Ya, empat dasawarsa yang amat bermakna bagi Noor Arfa. Siapa sangka, sebuah perusahaan kecil yang bermula di ruang sempit di belakang rumah, kini telah dikenali di seluruh tanah air sebagai perusahaan bangsa Melayu yang berjaya. Malah saya sendiri berbangga dengan adanya NACC Batik Pavilion (Noor Arfa Craft Complex) di Kuala Terengganu. Berbicara soal NACC, saya tahu ramai yang beranggapan penubuhan NACC Batik Pavilion ini didirikan atas bantuan kewangan kerajaan. Namun, dengan tegasnya saya katakan bahawa NACC didirikan atas limpahan darah dan air mata saya sendiri. Saya bersyukur kerana diberi kekuatan melalui semangat Kak Noor yang sentiasa menyokong misi dan visi saya mengenai industri batik Melayu. Tanpa sokongan dia, saya tidak yakin boleh membawa Noor Arfa hingga ke tahap sekarang.
Pandangan-pandangan sinis daripada orang sekeliling terhadap perniagaan batik yang dijalankan, kami tidak pedulikan. Saya tetap sanggup bersusah payah bersama Kak Noor, memandu dari Kuala Terengganu sampai ke Kuala Lumpur pada hujung minggu untuk membeli kain putih yang bakal dicorakkan menjadi produk batik. Bergulung-gulung kain putih kami sumbat dalam kereta Fiat 127 lama saya. Mengenang kembali perjalanan bersama kereta Fiat ini, sebenarnya banyak kenangan manis antara saya dan Kak Noor. Kami, suami isteri yang membangunkan perusahaan ini dalam ikatan cinta yang utuh antara kami. Kak Noor mengawal bahagian operasi manakala saya menguruskan bahagian pemasaran dan jualan. Saya kekuatan dia dan dia pula kekuatan saya.
Setiap hari, saya menceritakan visi dan misi saya mengenai Noor Arfa Batik kepada Kak Noor. Saya ingin dia nampak apa yang saya bayangkan dalam pemikiran saya. Hal ini bukan mudah kerana saya selalu dimomokkan dengan satu situasi angan-angan Mat Jenin. Saya dianggap kuat berangan apatah lagi apabila Noor Arfa fokus kepada pengeluaran batik eksklusif. Hajat saya ialah Noor Arfa tampil berbeza berbanding pengeluar batik lain. Saya mulai dengan penjenamaan. Misalnya, Noor Arfa mesti ada logo dan mesti ada plastik yang bercetak dengan logo. Malah butang baju Noor Arfa juga menggunakan butang yang ada cetakan nama Noor Arfa. Inilah yang membezakan Noor Arfa dengan pengeluar batik lain. Saya bukan sekadar berangan, namun saya merealisasikan impian melalui tindakan.
Suka untuk saya ceritakan juga dari mana datangnya nama Noor Arfa itu. Perkataan ‘Noor’ itu diambil daripada nama isteri saya, iaitu Noor Hijerah Hanafiah. Manakala perkataan ‘Arfa’ pula adalah singkatan nama Ariffin. Namun dikomersialkan kepada Arfa. Suatu ketika dahulu, masyarakat kita sangat kagum dengan jenama Alfa Romeo sebagai keunggulan jenama kereta mewah. Jadi, saya gunakan nama Arfa sebagai simbolik bahawa Noor Arfa boleh jadi satu jenama tempatan yang unggul seperti Alfa Romeo. Lucu juga memikirkan apabila ada yang menyebut nama Noor Arfa sebagai Noor Alfa kerana terpengaruh dengan jenama antarabangsa tersebut.
“Bagaimana mengembangkan inovasi produk, saya menjadikan jenama besar seperti Chanel dan Gucci sebagai perniagaan yang perlu dicontohi”
Wan Mohd Ariffin Wan Long