Noor Arfa Holdings Sdn. Bhd. Dinobatkan Tokoh Usahawan MARA Negeri Terengganu 2024-2025

KUALA TERENGGANU, 11 November 2025 – Anugerah Tokoh Usahawan MARA Peringkat Negeri Terengganu 2024-2025 telah berlangsung dengan penuh gilang-gemilang bertempat di Raia Hotel & Convention Centre, Kuala Terengganu. Majlis ini melibatkan tokoh-tokoh keusahawanan Bumiputera untuk meraikan kejayaan yang mengharumkan kepada nama negeri dan negara. Majlis berprestij ini bukan sekadar simbol pengiktirafan, tetapi juga sebagai wadah penting untuk memperkukuh semangat dan jaringan usahawan Bumiputera agar terus berdaya saing di peringkat global.
Dalam ucapan perasmian, Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Dato’ Zulkifli bin Osman, menegaskan bahawa keperluan mendesak untuk memperkukuh daya saing usahawan mikro Bumiputera agar mampu menembusi pasaran antarabangsa. Menurut beliau, sebanyak 88% daripada 647 ribu usahawan Bumiputera di Malaysia masih berada pada tahap mikro dan memerlukan strategi yang menyeluruh bagi melonjak ke tahap global competitiveness.
“Cabaran sebenar kita ialah mengangkat majoriti usahawan mikro ini ke tahap global competitiveness. MARA sedang menggerakkan keseluruhan ekosistem daripada latihan, pembiayaan hingga pembangunan pasaran bagi memastikan mereka mampu bersaing di luar negara,” katanya.
Terengganu sahaja telah mencapai seramai 37,598 usahawan Bumiputera yang terdiri daripada 33,086 (88%) usahawan mikro, 4,512 (12%) usahawan kecil dan hanya 451 (1%) usahawan berskala sederhana. Sehingga 31 Oktober 2025, seramai 1,264 usahawan negeri ini telah menerima pelbagai kemudahan MARA dengan nilai keseluruhan sebanyak RM40 juta. Bantuan tersebut merangkumi program latihan, bimbingan pembiayaan serta khidmat pakar perunding yang disediakan khusus bagi memperkasakan pembangunan keusahawanan tempatan.
Menurut Dato’ Zulkifli lagi, MARA Terengganu kini memberi tumpuan kepada tiga teras utama bagi memperkukuh ekosistem keusahawanan negeri ini. Teras pertama ialah Gate to Global, yang bertujuan membuka laluan pasaran antarabangsa kepada usahawan tempatan. Teras kedua ialah program Industri Gaya Hidup, yang memberi tumpuan kepada sektor kreatif dan inovatif seperti fesyen, tekstil dan reka bentuk. Teras ketiga ialah Transformasi Premis Perniagaan, yang disasarkan untuk meningkatkan imej serta kapasiti usahawan agar seiring dengan standard antarabangsa.
“Melalui pelaksanaan bersepadu ini, MARA yakin lebih ramai usahawan Terengganu akan muncul sebagai pemain serantau dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” tambah beliau.
Umum mengetahui, Anugerah Tokoh Usahawan MARA (AURA) 2024-2025 merupakan platform pengiktirafan berprestij yang menghimpunkan usahawan Bumiputera terbaik daripada pelbagai sektor di seluruh negeri. Bagi edisi kali ini, sebanyak 12 usahawan terpilih daripada 65 pencalonan dan 32 penyertaan aktif menerima pengiktirafan dalam pelbagai kategori. Antara kategori yang dipertandingkan ialah Industri Gaya Hidup, Automotif, Perkhidmatan, Pembinaan, Makanan dan Minuman, Program Khas Usahawan, Usahawan Inspirasi Wanita, Usahawan TVET, Lepasan IPMA, Usahawan Wakaf MARA Madani serta Jenama Terbaik.
Dalam majlis yang sama, Noor Arfa Holdings Sdn. Bhd. telah menjadi tumpuan apabila diumumkan sebagai penerima anugerah berprestij dalam majlis ini. Kejayaan syarikat ini terserlah melalui kepakarannya dalam pengeluaran dan pengedaran batik Terengganu buatan tangan yang eksklusif, merangkumi aspek reka bentuk, pengeluaran serta penjualan pelbagai produk batik dan sutera. Keupayaan Noor Arfa Holdings mengekalkan keaslian warisan dan menyesuaikan diri dengan kehendak pasaran premium menjadikannya antara pengeluar batik terbesar di Malaysia.
Pengiktirafan ini membuktikan bahawa jenama tempatan mampu untuk berdiri teguh dalam pasaran moden yang kompetitif, seiring dengan visi MARA untuk membawa usahawan Bumiputera ke segmen pasaran global bernilai tinggi. Kejayaan Noor Arfa Holdings menjadi bukti bahawa warisan seni dan nilai tradisional tidak pernah menghalang inovasi, bahkan menjadi kekuatan utama dalam mengekalkan identiti dan nilai komersial sesuatu jenama.
Kejayaan Noor Arfa Holdings juga menjadi inspirasi kepada usahawan muda dan bakal calon AURA agar tidak berputus asa dalam menempuh cabaran dunia keusahawanan. Setiap pengiktirafan seharusnya dijadikan batu loncatan untuk terus berkembang, berinovasi dan memberi impak kepada masyarakat. Dalam pada itu, usahawan digalakkan untuk menggunakan segala platform yang disediakan oleh MARA dan agensi berkaitan, bukan sekadar untuk meraih anugerah, tetapi bagi membina perniagaan yang mampan dan memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti.
Tahniah diucapkan kepada Noor Arfa Holdings Sdn. Bhd. atas pengiktirafan sebagai Tokoh Usahawan MARA Negeri Terengganu 2024–2025. Kejayaan ini membuktikan bahawa piala boleh diraih, impian boleh digapai dan warisan boleh terus dijulang. Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada semua usahawan Bumiputera untuk terus melakar sejarah, mencipta inovasi serta menjadikan Terengganu sebagai salah satu wadah keusahawanan unggul di Malaysia serta peringkat antarabangsa.
Siti Nuraisyah Zakaria | 4.45 P.M | Noor Arfa