Penjawat Awam Diwajibkan Memakai Pakaian Batik Malaysia Pada Setiap Hari Khamis

Berkuat kuasa 21 Ogos 2023, kerajaan menetapkan bahawa semua pegawai perkhidmatan awam diwajibkan memakai pakaian batik Malaysia pada setiap hari Khamis, manakala digalakkan untuk memakai pakaian batik pada hari bekerja lain. Peraturan ini dinyatakan melalui Surat Edaran Pemakaian Pakaian Batik Malaysia Semasa Waktu Bekerja Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Zulkapli Mohamed pada tarikh berikut.
Langkah ini adalah untuk memperkukuh lagi amalan yang telah lama diamalkan sejak tahun 1985, apabila pemakaian batik mula diperkenalkan dalam kalangan penjawat awam. Inisiatif ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk menyokong indsutri batik tempatan agar terus berkembang dan kekal relevan dalam arus moden. Menurut surat edaran tersebut, ketetapan pemakaian batik ini dikecualikan bagi pegawai yang dibekalkan pakaian seragam atau bagi mereka yang menghadiri majlis rasmi dengan ketetapan kod pakaian tertentu. Hal ini adalah untuk memastikan fleksibiliti dalam situasi kerja yang memerlukan kesesuaian etika berpakaian mengikut keperluan tugas.
Selain menjadi lambang profesionalisme, pemakaian batik dalam kalangan penjawat awam turut memainkan peranan penting dalam memupuk rasa bangga terhadap identiti nasional. Setiap helaian batik mencerminkan keunikan seni tempatan yang menonjolkan rekaan motif, pemilihan warna dan teknik penghasilan yang teliti dan bernilai tinggi.
Dalam kenyataan yang dimuak naik di laman rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), edaran ini turut disampaikan kepada semua perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan. Ini menunjukkan bahawa pelaksanaan ketetapan meliputi seluruh lapisan perkhidmatan awam di Malaysia. Dengan penguatkuasaan ini, Surat Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2021 yang sebelum ini hanya menggalakkan pemakaian batik setiap hari Khamis sahaja kini dibatalkan. Perubahan ini menandakan langkah tegas kerajaan untuk memperkukuhkn imej penjawat awam sebagai barisan hadapan yang menzahirkan nilai patriotisme dan kecintaan terhadap budaya bangsa.
Akhirnya, pemakaian batik bukan sekadar memenuhi garis panduan perkhidmatan, tetapi juga mencerminkan rasa tanggungjawab dan kesedaran bahawa setiap corak yang kita sarungkan adalah sebahagian daripada warisan seni yang perlu terus dipelihara. Melalui penampilan batik, penjawat awam bukan sahaja tampil kemas dan beretika, tetapi juga membawa bersama semangat bangsa yang menghargai keindahan dan warisan budayanya sendiri.
Sumber: BERNAMA
Siti Nuraisyah Zakaria | 3.10 P.M | Noor Arfa