PRAKATA

Bangunan Noor Arfa Craft Complex atau dikenali sebagai NACC Batik Pavilion tersergam indah di Chendering, Kuala Terengganu. Tidak mudah untuk sampai ke tahap ini keranadengan liku-liku dan onak duri yang membuatkan saya tunduk mengalah kepada keadaan. Namun, saya bersyukur dengan adanya wanita hebat di belakang saya, iaitu Noor Hijerah Hanafiah. Dialah insan kesayangan yang paling tepat hadir dalam hidup saya untuk sama-sama menaikkan jenama Noor Arfa. Dia mesra dipanggil Kak Noor.
Noor Arfa komited dengan keanggunan tradisi supaya tidak pudar ditelan zaman. Dalam setiap corak dan warna, tersemat semangat dan identiti Noor Arfa yang menjadikan Noor Arfa menyerlah bagaikan permata dalam khazanah warisan seni batik negara. Tidak salah jika saya katakan Noor Arfa terkenal dengan batik berkualiti tinggi di Malaysia sejak tahun 1980. Sebagai pelopor dalam industri batik Melayu, Noor Arfa telah membina reputasi unggul dalam menyediakan batik lukis tangan yang terbaik. Noor Arfa adalah sebuah jenama yang bercita-cita tinggi, inovatif dan berwawasan dalam industri fesyen pada peringkat tempatan dan antarabangsa.
Sebagai pengasas Noor Arfa Batik bersama-sama dengan Kak Noor, kami berazam untuk membawa warisan seni batik Melayu ke mata dunia. Atas sebab itulah kami berdua gigih mengangkat Noor Arfa menjadi peneraju utama industri batik di Malaysia. Kami keluarkan karya-karya yang memukau dan memulakan batik lukis tangan yang menjadi pencetus batik lukis tangan atau juga disebut sebagai batik canting.
Noor Arfa bukanlah sekadar menghasilkan batik tetapi lebih daripada itu. Saya berusaha untuk mengangkat seni lukisan batik melalui inovasi dan kreativiti tanpa melupakan nilai tradisional batik itu sendiri. Boleh dikatakan bahawa gabungan motif klasik dan kontemporari menjadikan setiap produk keluaran Noor Arfa mempunyai ciri-ciri unik yang memikat.

Pada hari ini, pada usia saya 69 tahun, saya puas hati dengan pencapaian Noor Arfa. Saya dan Kak Noor telah menyerahkan kepada tiga orang anak kami untuk menerajui sebuah jenama besar di Malaysia, iaitu Noor Arfa Holdings Sdn. Bhd. Alhamdulillah, perkahwinan saya dengan Kak Noor telah dianugerahkan dengan tiga anak lelaki yang berkebolehan untuk menguruskan perniagaan. Mereka ialah Wan Mohd Azwan (kiri), Wan Mohd Hafiz (tengah) dan Wan Mohd Affendi (kanan).
Dalam arus pemodenan yang pantas berubah-ubah, Noor Arfa terus berdiri teguh sebagai lambang keindahan seni warisan yang tetap mempunyai peminatnya yang tersendiri. Noor Arfa memberikan pilihan produk berasaskan batik terbaik untuk setiap golongan masyarakat. Dengan semangat terus membara, Noor Arfa melangkah gagah mengukir masa depan yang gemilang untuk seni batik Melayu. Noor Arfa bukan sekadar jenama, sebaliknya sebuah legasi perniagaan yang terus mekar melalui setiap lukisan batiknya yang bercerita mengenai keindahan warisan batik Melayu.
Buku ini adalah hasil nukilan saya dan juga isteri tercinta, Kak Noor. Kami berdua menitipkan buku ini buat anak-anak saya, iaitu Wan Mohd Azwan, Wan Mohd Hafiz dan Wan Mohd Affendi. Begitu juga buat menantu dan cucu-cucu. Kamu semua adalah kekuatan, sandaran dan kecintaan dalam apa yang dilakukan. Tidak dilupakan kepada seluruh karyawan di Noor Arfa sejak dahulu hingga kini, segala perjuangan dan keringat yang dikeluarkan demi Noor Arfa amat saya hargai.
Wan Mohd Ariffin bin Wan Long | Pengasas Noor Arfa Batik