Blog

Batik Search – Berseluar Batik Dan Berterendak Mampu Raih Komisen RM200 Sehari

BERTERENDAK dan berseluar batik sambil memegang jeruk mempelam asam boi di jalan utama dekat lampu isyarat sudah menjadi pemandangan biasa di bandar raya Kuala Terengganu ini.

Jeruk Pelam Asam Boi Kak Tie yang dijual dengan harga RM10 sebekas itu dijaja kepada pengguna jalan raya di Jalan Gong Kapas, Jalan Bukit Kecil dan Jalan Batu Buruk, Kuala Terengganu, bermula awal Januari lalu.

Ternyata pendekatan digunakan pengusahanya, Helmi Haffizudin Suhaimi, 29, berhasil apabila dia mampu memasarkan sebanyak 500 kilogram jeruk mempelam lemak manis setiap hari.

Katanya, dia sengaja mengetengahkan konsep memakai terendak dan berseluar batik seperti itu bagi menarik pelanggan.

“Saya terharu dan gembira apabila produk keluaran ini mendapat sambutan sekali gus mampu menjana pendapatan.

“Pada awal perniagaan, hanya dua pekerja yang sanggup menjaja di tepi jalan seperti itu. Susah nak dapatkan pekerja kerana pelbagai alasan termasuk malu.

“Namun, kini saya mempunyai seramai 30 penjaja yang aktif menjaja pada setiap hari dan mereka ini mampu memperoleh komisen sebanyak RM80 hingga RM200 sehari,” katanya yang ditemui ketika menjaja di Jalan Gong Kapas, Kuala Terengganu.

Katanya, dia seronok kerana perniagaan yang dijalankan itu turut membantu belia yang menganggur dan ibu tunggal.

“Saya kini sudah mempunyai seramai 40 suri rumah dan ibu tunggal yang mengambil upah memotong mempelam dan menyiapkan jeruk itu.

“Perniagaan ini bukan sahaja menambah pendapatan kami tetapi turut memberikan pekerjaan kepada orang lain,” katanya.

Menurutnya, ramai yang menggunakan kaedah perniagaan seperti itu, namun apa yang membezakan pekerjanya adalah keseragaman berpakaian ketika menjaja.

“Pemakaian terendak dan berseluar batik adalah identiti perniagaan kami yang secara tidak langsung dapat membantu mempromosikan pemakaian terendak dan batik Terengganu,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Faiz Zainal, 20, berkata, dia tidak malu menjaja jeruk pelam asam boi itu di tepi jalan.

“Pada mulanya memang segan berhadapan dengan orang ramai, namun lama-kelamaan perasaan segan itu hilang.

“Jika nak fikirkan malu, sampai bila pun tidak bekerja dan sekarang saya mampu meraih pendapatan RM100 hingga RM200 sehari,” katanya.

Dia yang mempunyai sijil kemahiran dalam bidang perpaipan memilih untuk menjaja kerana kekurangan pekerjaan dalam bidang berkenaan.

“Komisen yang agak lumayan diterima menyebabkan rasa malu dan letih seharian menjaja jeruk itu tidak dirasai,” katanya yang tinggal di Kampung Gong Tok Nasek, di sini.

Bagi Muhammad Alif Zulkarnain Zainal, 20, dari Kampung Kubang Baruh pula, dia tidak kisah dengan tanggapan orang ramai terhadap pekerjaan yang dijalankan itu.

“Saya tidak kisah apa orang mahu cakap. Walaupun hanya menjaja jeruk sekurang-kurangnya saya ada kerja dan tidak menganggur.“Pada waktu sekarang, kita tidak boleh memilih pekerjaan dan rebut sahaja peluang yang ada kerana gaji yang diterima daripada pendapatan ini juga berbaloi,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *