Blog

VIRAL-NOOR ARFA SASAR JUALAN 20 JUTA UNTUK TAHUN 2020

Pengarah Urusan, Wan Mohd Hafiz Wan Mohd Ariffin

KUALA TERENGGANU, 5 Feb  — Noor Arfa Holdings Sdn Bhd, pengeluar dan pengedar batik sutera milik bumiputera di sini menyasarkan jualan bernilai RM20 juta sebelum akhir tahun ini iaitu peningkatan sekali ganda berbanding RM10 juta pada 2019.

Pengarah Urusan, Wan Mohd Hafiz Wan Mohd Ariffin berkata syarikat yakin dapat mencapai sasaran itu dengan beberapa strategi dan pendekatan baharu daripada aspek pemasaran, rekaan baharu yang lebih moden dan terkini serta peningkatan kualiti produk.

“Pada tahun ini, syarikat akan terus memperkasakan satu program baharu keusahawanan iaitu ‘Batikpreneur’ dengan sasaran 1,000 usahawan berkonsepkan ‘dropship’ sebelum akhir tahun ini.

“Melalui program ini, kami di Noor Arfa akan memberi latihan dan bimbingan keusahawanan kepada mereka agar dapat menjana pendapatan melalui pemasaran dalam talian, dengan usahawan ‘Batikpreneur’ hanya perlu mempromosikan produk keluaran syarikat manakala urusan pengeposan akan dikendalikan oleh kakitangan Noor Arfa,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Program ‘Batikpreneur’, dimulakan akhir 2019 telah menerima 100 usahawan yang komited daripada seluruh negara ketika ini.

Beliau berkata selain ‘Batikpreneur’, Noor Arfa turut menumpukan segmen pasaran menerusi platform beli-belah dalam talian terkenal seperti Zalora, Lazada, Shopee, Fashion Valet serta saluran beli-belah 24 jam di  televisyen iaitu Laku Mall dan Go Shop.

“Kami turut aktif menaja pelbagai koleksi batik Noor Arfa untuk digayakan selebriti terkenal daripada golongan pelakon, penyanyi, ‘Instafamous’, ‘YouTubers’ di seluruh negara dengan sasaran 1,000 orang sebelum akhir tahun ini.

“Strategi ini sangat berkesan kerana jualan batik yang digayakan semua selebriti itu akan mendapat permintaan tinggi selepas gambar mereka dimuat naik dalam media sosial,” katanya yang turut mengikuti kursus pemasaran dan keusahawanan di Kuala Lumpur secara berjadual.

Selain mengeluarkan kain batik sarung, batik sutera untuk baju kurung, blaus, skirt, kaftan, kemeja dan kebaya, Noor Arfa juga menawarkan koleksi songket dengan rekaan eksklusif.

Noor Arfa, yang mula beroperasi pada 1980 di Chendering, kini mempunyai 200 kakitangan terdiri daripada anak Terengganu yang mempunyai kepakaran khusus dan bertanggungjawab dalam penghasilan blok batik, rekaan batik, lukisan dan gabungan warna.

Wan Mohd Hafiz berkata untuk menawarkan kelainan kepada pengunjung, pihaknya memperkenalkan pakej baharu seperti melukis batik dan melakukan sendiri proses batik terap di Kompleks Kraf Noor Arfa (NACC) di Chendering, Kuala Terengganu.

“Noor Arfa tidak mahu sekadar dikenali sebagai pengeluar batik, sebaliknya kita mahu mendidik masyarakat agar menghargai batik kerana ia adalah warisan budaya yang perlu dipertahankan untuk generasi akan datang.

“Ia mendapat permintaan yang sangat memberangsangkan kerana pakej itu adalah pengalaman berharga yang tidak diperolehi di tempat lain. Penglibatan pengunjung akan memberi kenangan tersendiri kepada mereka selaras ‘tagline’ Noor Arfa iaitu ‘Senyuman Kebahagiaanmu’,” katanya.

Selain pusat jualan utama di Chendering, Noor Arfa juga mempunyai tiga cawangan lain iaitu di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu; Lapangan Terbang Sultan Mahmud Shah di Kuala Nerus dan Busana MARA di Kuala Lumpur.

Sebagai jenama yang sudah menerima 31 pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, Noor Arfa turut menjadi pilihan orang kenamaan untuk mendapatkan batik yang berkualiti tinggi dan eksklusif.

Wan Mohd Hafiz mahu Noor Arfa terus memberi impak positif terhadap industri pelancongan, warisan dan kebudayaan negara pada masa depan.

sumber : BERNAMA

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *