Blog

3 Perkara Yang Boleh Menimbulkan Kasih Sayang

Apa yang membuatkan anda suka atau selesa dengan seseorang? Adakah cara mereka bercakap, intonasi suara atau apa yang mereka berikan kepada anda? Anda pasti ada jawapan sendiri, dan mustahil anda hanya ada satu jawapan sahaja. Banyak perkara sebenarnya yang boleh menimbulkan rasa kasih sayang antara manusia, lebih-lebih lagi bagi orang yang tahu menilai dan menghargai. Oleh itu, hari ini saya ingin kongsikan 3 perkara yang boleh menimbulkan kasih sayang.

“Tiga perkara yang akan memurnikan buatmu kasih sayang saudara kamu: Kamu memberi salam kepadanya apabila berjumpa dengannya, kamu melapangkan ruang buatnya dalam majlis, dan kamu memanggilnya dengan nama yang paling dia sukai.”

Ketiga-tiga amalan di atas jika dilihat tidak ada percanggahan pun dengan saranan oleh Allah dan rasulNya. Memang umat Islam dianjurkan memberi salam, malah membalas salam dengan ucapan yang penuh. Selain itu, ada larangan yang tegas tentang perbuatan mencela atau memanggil seseorang dengan nama yang tidak dia sukai.

Walau bagaimanapun, daripada sudut taraf hadis itu sendiri, hadis di atas disebut oleh Syeikh Mashhur bin Hasan Al-Salman dalam kitab himpunan hadis-hadis lemah dan palsu, dan ia bertaraf munkar. Justeru, pesanan tersebut tidak boleh disandarkan kepada kata-kata Nabi SAW.

Hadis lain yang lebih sahih dan mengandungi mesej yang sama ialah;

“Mereka tidak akan masuk syurga sehingga mereka beriman dan tidak beriman mereka itu sehingga mereka berkasih sayang. Adakah kalian mahu aku tunjukkan sesuatu yang mana apabila kalian mengerjakannya nescaya kalian akan saling menyayangi sesama kalian? Sebarkanlah salam sesama kalian”. [Riwayat Muslim, no. 81]

Salam bermaksud kesejahteraan. Menyebarkan salam bukan hanya dengan ucapan semata-mata malah memaknai ucapan salam yang diberikan, iaitu mengharapkan kesejahteraan ke atas saudara Islam kita dengan menjaga hubungan, tidak mengganggu mereka dan menolong jika diperlukan sehingga mereka benar-benar rasakan sejahtera. Dari sinilah, rasa kasih sayang akan semakin subur antara umat Islam.

Sumber : Tzkrh

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *