Blog

Ketahui 5 Kelebihan Dan Kebaikan “Memberi”

Rasulullah SAW pernah bersabda;

“Tidak ada hari yang disambut oleh para hamba melainkan di sana ada dua malaikat yang turun, salah satunya berkata: ‘Ya Allah, berikanlah ganti kepada orang-orang yang berinfaq’. Sedangkan (malaikat) yang lainnya berkata: ‘Ya Allah berikanlah kehancuran kepada orang-orang yang menahan (hartanya)’.”

(Hadis Riwayat Bukhari Dan Muslim)

Sedekah atau memberi bukan hanya perihal memberikan sebahagian harta kepada golongan yang memerlukan, namun manfaat sedekah lebih luas akan dirasakan oleh mereka yang melakukannya, antaranya:

1- Memperkuat Keimanan Dan Mendekatkan Diri kepada Allah SWT

Jika kita memberi dengan niat demi untuk beribadah kerana Allah, pasti akan bertambah keimanan kita terhadapNya.

Dengan amalan itu juga dapat mendekatkan diri kepada Allah kerana Allah sangat menyayangi akan golongan hambaNya yang banyak memberi keranaNya, bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk.

2- Mendapat Ganjaran Pahala

Setiap amalan baik yang dilakukan dengan ikhlas pasti akan diganjarkan dengan pahala oleh Allah SWT. Ini termasuklah dalam perbuatan memberi dan bersedekah kepada sesiapa yang memerlukan.

Firman Allah ;

“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, kecuali dari bisikan-bisikan orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah, atau berbuat kebaikan atau mengadakan perdamaian diantara manusia. Dan barangsiapa yang berbuat demikian kerana mencari keredaan Allah, maka kami akan memberinya pahala yang besar.”

(Surah an-Nissa:114)

3- Bertambah Rezeki Dan Mendapat Keberkatan

Bukankah dengan memberi kepada orang lain, Allah akan memberi dan menggantinya dengan hal yang lebih baik? Tidak sesekali kita rugi sekiranya memberi dan membantu orang lain dengan hak dan barangan kita.

Pasti Allah akan menurunkan keberkatan rezeki dengan lebih baik atas kebaikan yang kita lakukan itu. Jika bukan menggantikan hal yang sama, pasti digantikan dengan kesihatan yang baik, kebahagiaan dalam keluarga, kesenangan dalam bekerja dan sebagainya. Sesungguhnya rezeki Allah itu sangat luas dan tidak terbatas.

4- Menyembuhkan Penyakit

Banyak penemuan kajian membuktikan dengan melakukan sesuatu perkara yang positif untuk orang lain, seperti memberi atau bersedekah akan meningkatkan sistem kekebalan tubuh badan seseorang.

Salah satunya, kajian yang dilakukan oleh James House memberi kesimpulan bahawa dengan membantu orang lain sepenuh hati dan ikhlas akan meningkatkan kesihatan tubuh badan dan menyembuhkan penyakit-penyakit ringan.

5- Memberi Ketenangan Hati Dan Kebahagiaan

Sebagai umat islam kita sering disarankan untuk berbuat apa-apa saja kebaikan demi mendapatkan ketenangan fikiran dan emosi, termasuklah dengan bersedekah. Melalui amalan bersedekah juga akan melahirkan perasaan tenang dan bahagia.

Bahkan, dengan membelanjakan harta ke arah kebaikan demi membantu orang lain pasti akan mendorong peningkatan hormon-hormon kebahagiaan dalam otak kita. Kajian sains sendiri telah membuktikan kebenaran ini.

Sumber: UPM

JOM DAPATKAN HADIAH UNTUK INSAN TERSAYANG SEKARANG

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *