Blog

Jangan Hanya Sedekah Subuh, Lakukan Pada Bila-bila Masa

Ramai orang yang kongsikan tentang keistimewaan bersedekah pada waktu Subuh. Seolah-olah itulah waktu bersedekah yang paling mustajab dan terbaik berbanding waktu-waktu lain. Sering dikatakan, selepas solat Subuh pada waktu pagi terus sedekahkan wang ke dalam tabung masjid yang dikunjungi untuk berjemaah. Selain itu, kita juga boleh melakukan transaksi duit secara atas talian ke mana-mana tabung sedekah. Tapi janganlah hanya sedekah pada waktu Subuh, bersedekahlah pada bila-bila masa.

Hadis

Saranan ini dikatakan bersumber kepada satu hadis yang menyatakan bahawa malaikat yang turun pada waktu pagi. Dimana akan mendoakan balasan harta kepada orang yang memberi sedekah.

مَا مِنْ يَوْمٍ يُصْبِحُ الْعِبَادُ فِيهِ إِلاَّ مَلَكَانِ يَنْزِلاَنِ فَيَقُولُ أَحَدُهُمَا اللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا، وَيَقُولُ الآخَرُ اللَّهُمَّ أَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا

Maksudnya : Tidak ada hari yang mana para hamba itu berpagian padanya melainkan terdapat dua malaikat yang turun, lalu salah satu dari mereka berkata : “Ya Allah, berikanlah ganti kepada orang yang melakukan infaq (sedekah)”. Manakala malaikat yang satu lagi berkata : “Ya Allah, berikanlah kebinasaan kepada orang yang menahan hartanya (dari sedekah)”.

[Riwayat Al-Bukhari (1442), Muslim (1010)]

Hal ini seolah-olah menggambarkan ada sedekah khusus yang perlu dilakukan pada waktu Subuh. Walau bagaimanapun, menurut Ustaz Muhammad Fahmi Rusli, hadis ini tidak menunjukkan tentang sedekah pada waktu Subuh. Tetapi tentang dua malaikat yang turun pada waktu ini dan mendoakan semua orang yang bersedekah tidak kira pada bila-bila masa.

Riwayat Lain

Bahkan dalam riwayat lain, ada juga diceritakan tentang malaikat yang turun pada waktu Maghrib lalu mendoakan orang yang bersedekah, tetapi hal ini tidak pula disebut-sebut sebagai Sedekah Maghrib.

“Dan tidak terbenam matahari melainkan pada dua sudutnya terdapat dua malaikat yang menyeru : Ya Allah, berikanlah gantian kepada orang yang menginfaqkan (hartanya). Dan berikanlah kebinasaan kepada orang yang menahan hartanya (kedekut dan bakhil).”

(Riwayat Ibn Hibban dalam Sahih Ibn Hibban (3329)

Sekarang jelaslah bahawa tidak ada sedekah yang dikhususkan pada waktu Subuh. Menurut Ustaz Muhammad Fahmi Rusli lagi, hal ini berbeza dalam beberapa keadaan yang dinyatakan dalam dalil sahih. Iaitu ganjaran amal soleh memang dilipatgandakan apabila dilakukan pada bulan Ramadan, di bulan-bulan haram dan di dua tanah haram.

Pilihlah untuk bersedekah pada bila-bila masa sekalipun. Keistimewaan sentiasa ada buat orang yang bersedekah. Sekian sahaja perkongsian untuk hari ini. Terima kasih kepada pembaca yang sudi meluangkan masa untuk membaca coretan ini. Semoga kita semua mendapat manfaat daripada perkongsian ini.

Sumber: Tzkrh

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *