Blog

Ruginya Jika Tidak Amalkan Perkara Ni Pada Hari Jumaat

Di dalam kehidupan kita, kita perlulah banyak beristighfar kepada Allah SWT iaitu memohon ampun kepada-Nya di atas segala dosa dan kesilapan yang telah kita lakukan. Ini kerana, Nabi SAW yang diketahui bahawa Allah SWT telah mengampunkan dosanya yang telah lalu dan akan datang tidak pernah meninggalkan istighfar ini. Di dalam sebuah hadith, diceritakan bahawa Nabi SAW beristighfar lebih daripada 70 kali sehari sebagaimana yang diriwayatkan di dalam Sahih Imam al-Bukhari:

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً

Maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali”.

 [Riwayat al-Bukhari (6307)]

Terdapat sebuah hadith yang biasa dijadikan dalil dalam menceritakan berkaitan kelebihan istighfar pada hari Jumaat iaitu:

Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قال صَبيحَةَ يَوْمِ الجُمُعَةِ قَبْلَ صَلاةَ الغَدَاةِ: أسْتَغْفِرُ اللهَ الذِي لا إلهَ إلَّا هُوَ الحَيَ القَيومَ وأتُوبُ إلَيْهِ ثلَاثَ مَرَات، غَفَرَ اللهُ تعالى ذُنوبَهُ ولو كانتْ مِثْلَ زَبَدِ البَحْرِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang beristighfar pada pagi hari Jumaat sebelum menunaikan solat pagi. Dengan mengatakan “Aku memohon ampun kepada Allah, Tiada Tuhan melainkan-Nya, yang Maha Hidup, Maha Kekal Mentadbir dan aku bertaubat kepada-Nya sebanyak tiga kali. Maka Allah Taala akan mengampunkan dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan.”

[Riwayat Ibn al-Sunni (83)]

Namun, ulama berpendapat bahawa hadis ini adalah daif (lemah) kerana sanadnya yang tidak jelas. Hal ini dipersetujui oleh Imam Al-Hafiz Ibn Hajar, Imam Nawawi dan Syeik Syu’aib al-Arna’outh.

Imam al-Nawawi menyatakan disunatkan kepada kita untuk memperbanyakkan berzikir dan berselawat kepada Nabi SAW pada hari Jumaat berbanding hari-hari yang lain. Selain itu, kita juga disunatkan untuk memperbanyakkan berdoa pada hari tersebut bermula dari terbitnya fajar sehingga terbenamnya matahari

Penutup

Kesimpulannya, istighfar sangat penting kerana padanya terdapat banyak kelebihan. Selain itu juga, kita sebagai seorang manusia biasa yang tidak lari daripada melakukan kesilapan dan kesalahan perlulah melazimi istighfar di dalam kehidupan seharian kita. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-Nya yang sentiasa melazimi istighfar serta menggolongkan kita dalam kalangan penghuni syurga. Amin.

Sumber : Mufti Wilayah Persekutuan

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *