Blog

Wajib Belajar Komunikasi Jika Anda Ada 3 Tanda Ini

Pernah tak kata-kata orang lain boleh menyebabkan kita triggered atau mudah terasa?? Mungkin kita berfikir bahawa kita seorang yang mudah dibawa berbincang apabila sesuatu konflik berlaku. Fikiran kita menunjukkan bahawa kita seorang yang mudah menerima kritikan yang membina dengan lapang dada. Sedangkan, setiap kata-kata yang tidak selari dengan prinsip dan pemahaman kepada diri sendiri, sering kita tafsirkan sebagai ‘serangan’. Malah ada yang kita rasakan mencalar ego dan bertujuan meruntuhkan semangat kita. Tetapi perlu kita ketahui bahawa kemahiran komunikasi tidak sepenuhnya dikuasai walaupun pengalaman hidup semakin banyak. Ianya perlu dipelajari. Oleh itu, menariknya perkongsian hari ini ialah anda wajib belajar kemahiran berkomunikasi jika anda mempunyai tiga tanda ini.

Namun sebelum kita belajar kemahiran komunikasi, ada hal lebih penting yang perlu dibuat iaitu mengakui bahawa kita ada isu komunikasi dengan orang. Bagaimana untuk mengetahuinya? Berikut tiga perkara yang boleh disemak:

#1- Anda Selalu Terlibat Dengan Corak Pergaduhan Yang Sama Berkali-kali

Anda selalu terlibat dengan corak pergaduhan yang sama berkali-kali. Contohnya kerap menyalahkan dan menuding jari pada orang lain apabila bergaduh, menggunakan kata-kata kesat dan menyerang personaliti orang. Jika hal ini berlaku, bermakna anda belum mempunyai kemahiran menyelesaikan konflik dengan efektif.

#2- Anda Mengelak Berbincang Topik Tertentu

Anda tidak mahu bergaduh dan tidak mahu berdepan dengan perasaan yang tidak selesa, disebabkan itu anda elak daripada berbincang hal yang pada anda sensitif. Walhal, tindakan mengelak ini boleh memberi kesan dari sudut lain seperti tidak ada pertautan emosi, rasa semakin jauh dengan seseorang dan juga yang paling jelas ialah rasa tidak gembira.

#3- Anda Kerap Rasa Tidak Difahami, Tidak Didengari atau Dilihat

Tanda ketiga ialah anda selalu rasa orang tidak faham anda, dan orang tidak dengar apa yang anda cuba sampaikan. Sama juga dengan orang yang dilawan bercakap, mereka juga mungkin rasa tidak difahami dan tidak didengari. Dan hal ini mencalar ego dan mungkin akan menyebabkan perasaan-perasaan lain datang seperti rasa bersendirian, dan tidak terhubung (disconnected). Tidak dinafikan, boleh jadi orang itu sendiri yang mempunyai masalah komunikasi, atau boleh jadi juga anda masih belum mampu menyampaikan mesej dengan baik.

Kesimpulan

Dalam komunikasi, menunjukkan siapa salah dan siapa betul bukanlah tujuan utama, tetapi mesej dan maklumat mampu disampaikan dengan cara yang paling berkesan. Justeru jika perkara-perkara yang diterangkan di atas sedang anda lalui, mungkin ini masanya kita mengakui ada sesuatu yang perlu diubah dengan cara komunikasi.

NOOR ARFA
“Senyuman KebahagiaanMu💜”

Sumber: Tzkrh

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *