Blog

5 Wasiat Rasulullah S.A.W Istimewa Buat Umatnya

Rasulullah S.A.W adalah insan yang paling khuatir tentang umat Islam. Baginda S.A.W sangat mengambil berat tentang kita semua umatnya sehinggalah ke saat pengakhiran hayat Rasulullah S.A.W.

Baginda mengingati kita iaitu umat di akhir zaman yang tidak pernah bertemu dengan baginda S.A.W. Begitu hebatnya Rasulullah S.A.W mengekspresikan cinta kepada umatnya.

Rasulullah S.A.W adalah contoh terbaik yang harus kita ikuti. Rasulullah S.A.W sentiasa menyampaikan pesan kepada umatnya agar sentiasa berpegang kepada al-Quran dan Sunnah agar kehidupan kita sentiasa terpandu dan di atas landasan yang benar.

Oleh itu, sematkanlah dalam jiwa kita untuk mempelajari Al-Quran dan hadis agar dua panduan ini mampu membimbing hidup kita untuk menjadi insan yang bertaqwa. Dari Abu Hurairah R.A berkata;

Rasulullah S.A.W bersabda: “Siapakah yang mahu mengambil kata-kata ini dari saya, untuk diamalkan atau untuk diajarkan?” Abu Hurairah R.A menjawab: “Saya, wahai Rasulullah! Baginda lalu memegang tanganku lalu mulai menghitung lima hal, seraya bersabda: “Hindarilah hal-hal yang diharamkan, kamu akan menjadi orang yang paling bagus ibadahnya, redhalah terhadap apa yang Allah bagikan untukmu, kamu akan menjadi orang terkaya, berbuat baiklah kepada tetanggamu, kamu akan menjadi orang mukmin, cintailah untuk orang lain apa yang kamu cintai untuk dirimu sendiri, kamu akan menjadi muslim, dan janganlah engkau banyak tertawa, karena banyak tertawa akan mematikan hati.”

Sahih Bukhari
Wasiat 1: Jagalah Dirimu Dari Perkara Yang Haram

Dalam kehidupan ini, kita sangat diuji dengan kemewahan dunia dan sering menghampiri dengan perkara syubhah. Jangan kerana turutkan kemahuan dan nafsu kita, kita tidak hiraukan yang mana halal dan haram. Apa yang kita makan dan kita lakukan akan memberi kesan pada keseluruhan kehidupan kita.

“Rasulullah S.A.W bersabda: “Siapakah yang mau mengambil kata-kata ini dari saya, untuk diamalkan atau untuk diajarkan ?” Abu Hurairah r.a menjawab: “Saya, wahai Rasulullah ! Baginda lalu memegang tanganku lalu mulai menghitung lima hal, seraya bersabda: “Hindarilah hal-hal yang diharamkan, kamu akan menjadi orang yang paling bagus ibadahnya…”

Sahih Bukhari
Wasiat 2: Sentiasa Bersyukur

Belajarlah erti syukur dengan segala nikmat dan didikan dari-Nya. Jangan hanya mengharapkan kebaikan-kebaikan sahaja yang datang setelah kita melakukan ibadah kepada Allah. Ikhlas adalah tunjang yang paling besar dalam kehidupan beribadah.

“….redalah terhadap apa yang Allah bagikan untukmu, kamu akan menjadi orang terkaya…”

Sahih Bukhari

Wasiat 3: Melakukan Kebaikan Kepada Jiran

Buatlah apa jua kebaikan kepada sesiapapun kerana cinta Allah. Hal inilah yang akan membahagiakan hati kita. Bukan mengharapkan balasan semula daripada manusia. Kelak kita akan kecewa. Tetangga adalah orang yang kedua terhampir setelah keluarga kita. Memiliki tetangga yang baik merupakan satu nikmat yang mesti kita syukuri.

Namun, mendapat tetangga yang menguji emosi dan hati kita juga harus bersyukur dengan ujian itu kerana ia adalah sebagai tanda cinta Allah S.W.T.

“…berbuat baiklah kepada tetanggamu, kamu akan menjadi orang mukmin…”

Sahih Bukhari
Wasiat 4: Cintai Orang Lain Seperti Kamu Mencintai Dirimu

Berkasih sayang sesama manusia akan melahirkan suasana yang penuh rahmat. Islam mendidik kita agar mengeratkan silaturrahim sesama ahli keluarga dan jiran tetangga supaya kita dapat membina masyarakat Muslim yang bertaqwa.

Sayangilah saudara kita sebagaimana kita menyayangi diri kita sendiri. Buanglah sikap mementingkan diri sendiri kerana hakikatnya kita hidup di dunia ini dan kita saling memerlukan dan melengkapi.

“…cintailah untuk orang lain apa yang kamu cintai untuk dirimu sendiri, kamu akan menjadi muslim…”

Sahih Bukhari
Wasiat 5: Tidak Terlampau Banyak Bergurau

Bersederhanalah dalam kehidupan kita. Islam sangat fleksibel dan bersederhana dalam setiap perkara. Jangan pula terlalu ekstrim dan longgar. Amalkanlah sikap bersederhana tetapi sempurna dalam beramal. Dalam cara kita berhibur dan bergurau senda, bersederhanalah agar ia tidak menghampiri kepada kelalaian dan menghilangkan pahala amal.

“…dan janganlah engkau banyak tertawa, karena banyak tertawa akan mematikan hati.”

Sahih Bukhari

Kesimpulannya, Rasulullah S.A.W berpesan agar kita tidak terleka dengan keindahan dunia yang hakikatnya sementara. Namun, masih lagi ada yang sering tertipu dengan keasyikan dunia sehinggakan lupa akan akhirat yang menjadi kehidupan kita yang sebenar. Oleh sebab itu, kita harus ingat bahawa banyakkanlah amal dan sungguh-sungguh dalam bermujahadah melawan tipu daya yang datang. Semoga bermanfaat.

Sumber : Tzkrh

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *