Blog

Tanda Kebahagiaan Muslim Boleh Dilihat Pada 3 Perkara Ini

Kata orang duit bukan segalanya, tetapi jika ada duit, maka banyak benda boleh dilakukan. Begitu juga duit tidak dapat membeli kebahagiaan, tetapi hati lebih senang jika duit mencukupi dan keperluan hidup boleh dipenuhi.

Barangkali kerana hakikat ini juga, maka perihal kebahagian turut dikaitkan dengan kesenangan hidup dalam hadis yang akan dikongsikan sebentar lagi. Ia menunjukkan agama Islam tidak menafikan kehendak dan keperluan seorang manusia untuk hidup di dunia ini.

Diriwayatkan oleh Nafi’ Bin Abdul Harith daripada Nabi SAW bersabda :

مِنْ سَعَادَةِ الْمَرْءِ الْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ ، وَالْجَارُ الصَّالِحُ ، وَالْمَرْكَبُ الْهَنِيءُ

Maksudnya : “Antara (tanda) kebahagiaan seseorang ialah rumah yang luas, jiran yang soleh dan kenderaan tunggangan yang elok.” 

[Riwayat al-Bukhari (457) di dalam al-Adab al-Mufrad]

1- Rumah Yang Luas

Fitrah manusia mahukan tempat tinggal yang selesa dan luas. Rumah yang luas, kemas dan bersih dapat menenangkan hati dan melapangkan minda. Seolah-olah tidak ada perkara yang mengganggu anak mata kita dan menyerabutkan kepala bukan?

Walau bagaimanapun, kata Al-Munawi, luas ini berbeza mengikut keadaan dan diri seseorang. Ada juga yang mempunyai rumah besar tetapi rasa sempit. Ada yang rumahnya sederhana pula rasa lebih luas dan besar. Hal ini mungkin kerana adanya amalan-amalan harian yang menyebabkan rumah itu tenang untuk didiami.

2- Jiran Yang Soleh

Jiran yang soleh juga boleh menjadi salah satu punca kebahagian dan ketenangan hidup seseorang. Pasti timbul rasa aman, dan selamat jika ada jiran yang prihatin, amanah dengan pesanan dan paling penting tidak mengganggu dan menyusahkan. Al-Munawi menerangkan bahawa jiran yang soleh ini adalah jiran yang tidak menyakiti orang lain. [(Rujuk Faidh al-Qadir 93/302)]

Hidup berjiran juga bermakna saling memberikan manfaat buat satu sama lain. Besarnya peranan jiran sehingga sering disebutkan tentang adab-adab berjiran bahkan ada kata-kata menyebut bahawa lihatlah dahulu jiran sebelum memilih rumah (tinggal di tempat tersebut).

3- Kenderaan Yang Elok

Kenderaan yang elok juga boleh mendatangkan rasa senang dan bahagia. Bayangkan beza kenderaan yang elok, yang kukuh dengan kenderaan yang ada banyak masalah dan cepat rosak. Pasti yang elok lebih mendatangkan ketenangan dan kebahagian, berbanding kenderaan yang kerap kali rosak, yang boleh mencetuskan rasa marah kerana lambat sampai ke tempat yang dituju, malah duit banyak dihabiskan untuk membaiki.

Al-Munawi menerangkan bahawa kenderaan yang elok ialah tunggangan yang laju, selesa dan mudah dinaiki. Imam Al-Tahawi pula menyatakan bahawa:

“Ia (kenderaan yang baik) menjauhkan hati dari kegelisahan. Kenderaan yang baik menjadikan penunggangnya sibuk dengan zikir kepada Allah ataupun sibuk dengan perkara lain disebabkan kenderaannya yang tidak elok yang mana ia menyakitkan orang yang menaikinya.” 

[Rujuk Bayan Musykil al-Athar (7/43)]

Di zaman sekarang, boleh kita fahami bahawa kenderaan yang elok ialah yang dapat membantu kita melalui kehidupan sehari-hari dengan lebih mudah dan selesa.

Kesimpulannya, ketiga-tiga perkara di atas boleh dilihat sebagai hal yang melancarkan urusan hidup kita – rumah yang luas memudahkan kita menyusun atur dan mengemas, jiran yang soleh memudahkan kita hidup dengan tenang kerana saling menolong dan memberikan manfaat dan kenderaan yang elok pula memudahkan kita ke mana-mana. Apabila urusan hidup lancar, maka ketenangan akan hadir dan membuat diri lebih bahagia.

Sumber : Tzkrh

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *