Blog

Amalan Sunnah Dalam Bulan Rabiulawal

Setiap bulan ada keistimewaannya yang tersendiri. Selain tiga bulan utama iaitu Rejab, Syaaban dan Ramadan yang diketahui umum bahawa bulan tersebut adalah bulan untuk beramal ibadah. Namun kita juga perlu merebut gandaan ganjaran yang disediakan oleh Allah S.W.T di dalam bulan Islam yang lain. Salah satunya, di dalam bulan . Bersempena ketibaan bulan Rabiulawal yang akan menjelma, saya berbesar hati untuk kongsikan amalan sunnah yang digalakkan untuk kita melaksanakannya pada bulan istimewa ini.

Banyak peristiwa sepanjang bulan Rabiulawal dalam sejarah Islam berdasarkan pandangan ulama. Peristiwa paling diingati umat Islam ialah kelahiran Nabi Muhammad SAW. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” 

(Surah al-Anbiya’ ayat 107)
1. Memperbanyakkan Selawat Ke Atas Rasulullah S.A.W

Banyak kelebihan bagi mereka yang berselawat ke atas Rasulullah S.A.W. Bahkan, Allah dan para malaikat juga turut berselawat ke atas Baginda. Firman Allah S.W.T yang bermaksud;

“Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad S.A.W), ‘Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya’.”

Surah Al-Ahzab : 56
2. Berpuasa Sunat

Seperti yang sedia maklum, bahawa kelahiran Rasulullah S.A.W jatuh pada hari Isnin; 12 Rabiulawal dan ada yang berpandangan, tarikh kelahiran Baginda adalah pada 9 Rabiulawal. Wallahua’lam. Apa yang pasti, setiap tahun semasa hayatnya Baginda S.A.W akan berpuasa sunat pada hari kelahirannya. Diriwayatkan dalam sebuah hadis daripada Abi Qatadah al Ansari r.a, bahawa Rasulullah S.A.W ditanya sebab Baginda S.A.W berpuasa pada hari Isnin. Lalu, dijawab olehnya;

“Pada hari itu aku dilahirkan dan pada hari itu pula aku (untuk pertama kali) menerima wahyu.”

Hadis Riwayat Muslim
3. Memperbanyakkan Bersedekah

Sedekah adalah satu pemberian yang diberikan oleh seorang Muslim kepada orang lain secara sukarela tanpa dibatasi oleh waktu dan jumlah tertentu. Hukumnya adalah sunat dan sangat digalakkan. Ini merupakan salah satu sifat mulia Baginda Nabi S.A.W iaitu, gemar bersedekah. Banyak kelebihan yang diperolehi daripada bersedekah. Salah satunya sepertimana firman Allah S.W.T yang bermaksud;

“Orang-orang yang menafkahkan hartanya di malam dan siang hari secara tersembunyi dan terang-terangan, maka mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.”

Surah Al-Baqarah : 274
4. Memperingati Baginda S.A.W

Bulan Rabiulawal sewajarnya diingati sebagai bulan memperingati Rasulullah S.A.W sekalipun hakikatnya, kita tidak perlu menunggu tempoh masa tertentu baru mahu mengingati Baginda. Sungguhpun begitu, dengan kedatangan bulan ini saban tahun ia secara tidak langsung mengingatkan kepada kita akan kelahiran manusia agung yang mulia; pembawa ajaran suci Islam ke atas muka bumi ini. Sekaligus kekasih Allah yang melimpahkan rahmat buat sekalian alam, iaitu Muhammad S.A.W. Banyak cara yang boleh kita lakukan bagi menzahirkan ingatan juga mahabbah kepada Baginda antaranya dengan memperbanyakkan selawat, menghadiri majlis ilmu yang menceritakan tentang kisah Baginda dan memuji Baginda dengan alunan qasidah.

5. Melaksanakan Sunnah Baginda S.A.W

Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud;

“Aku tinggalkan kepada kalian dua perkara. Maka, barangsiapa yang berpegang teguh pada keduanya maka tidak akan tersesat iaitu kitabullah (Al-Quran) dan sunahku.”

Riwayat Imam Malik

Amalan Sunnah adalah segala perakuan, percakapan serta perbuatan Baginda Nabi S.A.W. Jika diikuti atau dilaksanakan maka akan beroleh pahala, jika ditinggalkan tidak mendapat dosa. Hakikatnya, dalam satu hari banyak amalan sunnah yang boleh kita lakukan sejak dari bangun tidur hingga kita kembali ke tempat tidur semula. Ia bukanlah ‘wajib’ dilaksanakan dalam bulan Rabiulawal, akan tetapi bulan mengenang Rasulullah S.A.W ini wajarlah diambil peluang bersama untuk menghidupkannya dalam kehidupan seharian walaupun sekali seumur hidup.

Semoga dengan perkongsian yang sedikit ini dapatlah kita bersama-sama menghayati kedatangan bulan mulia ini sekaligus melipat gandakan amal untuk dijadikan bekalan di sana nanti. Diharapkan agar pembaca semua dapat mengambil manfaat daripada perkongsian ini. Terima kasih kerana telah meluangkan masa untuk membaca coretan ini.

Noor Arfa
Senyuman KebahagiaanMu💜

Sumber : tzkrh.com

Related Posts

Leave a Reply