Blog

Lakukan 3 Perkara Ini , Untuk Tenang Dalam Rumahtangga.

Cinta, suka, selesa, serasi – perasaan-perasaan awal yang timbul apabila sukakan seseorang. Perasaan ini boleh membawa kepada keputusan untuk berkahwin dan bersama mereka sepanjang hidup. Setelah berkahwin, perasaan ini masih ada, cuma masalah dan konflik yang timbul ditambah dengan urusan-urusan yang perlu dibereskan setiap hari memerlukan kemahiran dan kualiti lain yang ada pada diri seseorang, bukan hanya perasaan cinta, suka, selesa dan serasi. Di hujungnya, perasaan yang diinginkan daripada sebuah perkahwinan sudah pastilah KETENANGAN. Tapi ketenangan tidak datang begitu sahaja. Ia perlu diusahakan. Persoalannya, sebagai suami atau isteri, apa yang telah kita buat dalam perkahwinan untuk mencapai ketenangan yang kita mahukan?

Tips Tenang Dalam BerumahTangga

1 – Fahami – Iceberg Emosi

Anda tahu ‘Iceberg’? Bongkah ais yang terapung di laut di bahagian kutub bumi yang sejuk. Yang nampak hanya sedikit bahagian permukaannya sahaja bukan? Sedangkan yang lebih besar tenggelam di bawah. Begitu juga emosi seorang manusia. Seringkali yang kita nampak ialah bahagian emosi yang diluahkan contohnya marah. Bahagian yang tenggelam mungkin penat, kecewa, sedih, geram dan sakit hati. Apabila berkomunikasi dengan pasangan, penting untuk lebih dahulu cuba faham apa yang berada di sebalik emosi yang ditunjukkan. Yang dilihat mungkin bebelan dan wajah tidak puas hati, tetapi yang terselindung ialah rasa-rasa yang pelbagai lagi.

Tips Tenang Dalam BerumahTangga

2 – Jangan Lakukan Ini – Membandingkan Kepenatan Siapa Lebih Besar

Dalam kehidupan seharian yang cukup sibuk, kita mudah termasuk ke dalam pertandingan membanding-bandingkan kepenatan siapa yang lagi banyak dan besar.

“Saya pagi keluar kena hantar anak dulu, balik pun saya ambil”

“Saya balik kena masak, basuh baju lagi. Awak sampai rumah dah terus rehat, main game

Apabila badan dalam keadaan penat, kita mudah mengheret segala macam perkara yang telah dibuat untuk dibanding-bandingkan dengan pasangan. Perasaan yang timbul ialah ‘rasa tak adil’ dan ‘rasa tak difahami’.

Daripada membanding-bandingkan, apa kata berbincang dan bahagikan tugasan yang dipersetujui bersama-sama. Tetapi walau jadual tugasan sudah ada, anda boleh lebih fleksibel jika ada perkara-perkara tak dijangka berlaku yang memerlukan rutin diubah mengikut keperluan.

Tips Tenang Dalam BerumahTangga

3 – Pastikan Anda Lakukan Ini – Tanya Apa Yang Pasangan Perlukan

Komunikasi perlu berjalan dua hala. Suasana yang tegang dan keruh mungkin boleh dijernihkan dengan mula bertanya apa yang pasangan perlukan.Pertanyaan begini memberi mesej bahawa kita ingin memahami pasangan dengan lebih baik. Kita ingin mencari jalan penyelesaian dan bukan hanya menegakkan apa yang kita mahu.

“Asyik saya saja yang faham dia. Dia tak pernah nak faham saya!”

Jika anda rasa hanya anda sahaja yang memberi dan memahami, sedangkan anda tidak mendapat balasan yang sama, ajaklah pasangan duduk berbincang dan capai kata sepakat.

“Saya dah cuba beri apa yang awak perlu. Saya harap awak pun cuba beri apa yang saya perlukan”

Kesimpulan

Untuk mendapatkan ketenangan, ada cara yang perlu diubah, ada tabiat yang perlu diperbaiki. Perubahan perlukan kesedaran dan kesediaan kedua belah pihak. Perkahwinan bukan bertujuan memenuhi keperluan dan kemahuan satu pihak sahaja. Di akhirnya, suami atau isteri perlu sedar dan ingat kembali matlamat utama perkahwinan ialah ketenangan dan kebahagiaan.

Sekian sahaja perkongsian untuk hari ini. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa membaca perkongsian ini dan semoga kita mendapat manfaat dari coretan ini.

MENCARI OUTFIT UNTUK SEDONDON DENGAN PASANGAN? JOM KLIK 👉🏻DI SINI

Sumber : tzkrh

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *